Saturday, February 18, 2012

Mama & Alaisya ;)

<3 <3 <3

Pengalaman Bersalin

Assalaamualaikum wbt.... and good evening :D

Wahh lama nya tak update blog ni. Bersawang2 dah haaaaa huhu. OK, haritu kawan sab ada msg kt fb tanya kalau sab nak share pengalaman bersalin untuk Majalah Jelita. So, sab pun fikir why not kan..... At least boleh lah sab ingat peristiwa masa bersalin kan Alaisya. Nanti Alaisya dah besar boleh lah dia baca ehhehe :D

Ni yang sab tulis untuk Majalah Jelita. Katanya keluar untuk bulan Mac. Kite tunggu dan lihat......... Sementara itu, enjoy reading!!! :D

Setiap wanita yang sudah berkahwin dan mengandung dan akan menjadi seorang ibu bakal melalui perkara yang sama iaitu menjalani proses bersalin dan seterusnya membesar dan mendidik anak. Seperti saya, sepanjang tempoh mengandung saya asyik terfikir  bagaimana agaknya proses bersalin yang akan saya alami nanti. Adakah ia senang atau susah? Tetapi yang pastinya saya tidak mahu melahirkan anak melalui pembedahan.  Saya ingin merasa sakit bersalin normal ini. Dan saya juga menanamkan semangat untuk tidak mengambil ‘epidural’. 

Pada 10 November 2011 petang, saya ke hospital untuk pemeriksaan kandungan yang pada waktu itu sudah 38 minggu.  Dijangkakan saya akan bersalin pada 20 November. Memandangkan esok adalah tarikh yang cantik iaitu 11 November, saya pun bertanyakan pada doktor sekiranya saya mahu ‘induce’ untuk bersalin esok.  Doktor memeriksa bukaan saya, tetapi malangnya saya tidak boleh  ‘induce’ kerana bukaan hanya 1 sentimeter.  Dalam hati berkata mungkin baby saya nak duduk lama lagi dalam perut mamanya ni.

Pada malam harinya, ketika saya nak mandi, saya perasan ada sedikit darah bercampur lendir yang keluar. Suami kata mungkin disebabkan doktor periksa bukaan petang tadi. Nak kata sakit, tidak pula terasa apa-apa.

Pada keesokkan harinya, masih ada darah bercampur lendir yang keluar. Saya sempat lagi Google di internet mengenai tanda-tanda awal nak bersalin. Sesetengah wanita akan keluar darah ataupun pecah air ketuban. Hati dah mula berdebar ni. Jadi nak menyedapkan hati, kami pun ke hospital semula untuk mendapatkan kepastian. Setibanya di hospital, saya cakap yang ada keluar darah sedikit tetapi tak ada rasa sakit. Oleh itu, saya diperiksa oleh bidan.  Saya dipasangkan alat CTG di perut untuk mengesan nadi bayi dan juga kontraksi. Bidan periksa bukaan tetapi  baru 2 sentimeter. Kontraksi pon tak kerap dan bayi pula sedang tidur. Hampir 3 jam saya di dalam wad bersalin. Selesai periksa, bidan kata belum lagi nak bersalin. Dia kata bila dah rasa teramat sakit baru datang hospital. Jadi saya balik dengan perasaan yang agak hampa sebab tak dapat nak bersalin pada hari itu. Nak menceriakan hati ini, suami terus bawa pergi makan dan jalan-jalan.

Malam itu, kami pergi makan malam di Damansara, tengah makan saya terasa sakit kat ari-ari lebih kerap. Terdetik dalam hati, ini kontraksi betul atau permulaan. Dalam perjalanan pulang ke rumah pun terasa lagi sakit. Saya berkata pada suami dah sakit kontraksi ni. Tapi, nak tunggu biar lebih kerap. Sampai rumah, saya mula mengira berapa kali kontraksi datang. Pada mulanya ia datang setiap 30 minit. Tetapi tibanya jam 4 pagi, kontraksi sudah mula lebih kerap, iaitu setiap 15 minit. Disebabkan saya mengantuk kerana tidak dapat tidur, saya biarkan dahulu. Hati kecil berkata inilah agaknya kontraksi yang sebenar. Sakitnya bukan sakit biasa. Lebih sakit dari ketika datang haid. Masuk jam 6 pagi, saya dah mula tak tahan. Pergi tandas rasa seperti hendak buang air besar, tapi tidak boleh. Kontraksi datang lebih kerap, kini setiap 5 minit. Saya kejut suami, kami pun bersiap ke hospital. Dalam keadaan yang hujan lebat, perjalanan dari rumah ke hospital yang hanya mengambil masa 30 minit terasa bagaikan 2 jam. Tidak senang duduk dibuatnya dalam kereta. Sampaikan tangan tak cukup nak memegang segala benda.  

Setibanya di hospital, saya terus diusung ke wad bersalin. Saya diberi ubat untuk buang air besar. Pada waktu itu, sudah terdetik dalam hati bahawa saya dah hampir nak bersalin. Tetapi masih belum menghubungi sesiapa kerana fikir lambat lagi. Anak pertama katakan, mana ada pengalaman nak bersalin. Di katil, nurse pasang CTG kat perut. Saya sempat tanya tak masuk wad ke. Nurse cakap kontraksi saya dah cantik, jadi duduk wad bersalin sahaja. Katanya anggaran dalam 6 jam lagi saya bersalin. Masa tu rasa dah tak boleh nak tunggu 6 jam sedangkan baru pukul 7.30 pagi. Saya suruh suami telefon ibu, abah dan keluarga yang lain. Ibu punyalah marah kenapa tak telefon awal, sebab dia dari semalam dah mula risaukan saya.

Jam 8 pagi, bidan periksa bukaan dan sudah 3 sentimeter. Nurse masukkan drip air dan bagi suntikan untuk percepatkan bukaan. Selain itu, nurse ada bagi gas Etonox untuk saya sedut, ini adalah untuk mengurangkan rasa sakit ketika kontraksi berlaku. Tapi saya puaslah sedut, rasa sakit itu tetap ada. Untung suami ada bersama saya, dapatlah mengurangkan sedikit rasa sakit. Kontraksi makin kerap dirasa dan pada jam 9.30 pagi, bidan periksa bukaan sudah 5 sentimeter. Orang kata, untuk mengelakkan diri dari terlalu penat, cuba untuk tidur di antara kontraksi, tapi saya tetap tidak  dapat melelapkan mata walau sesaat. Perasaan bercampur baur ketika itu. Saya akui saya berasa amat takut. Tapi, saya cuba untuk ketepikan perasaan itu dan berfikiran positif. Hanya zikir dan doa yang dapat saya ungkapkan dalan hati.

Doktor saya tiba untuk memeriksa saya, dan pada waktu itu juga dia memecahkan air ketuban untuk mempercepatkan lagi bukaan. Dan pada jam 11.30 pagi, bidan memeriksa bukaan, kali ni ia sudah 7 sentimeter. Hanya tinggal beberapa sentimeter sahaja lagi untuk bayi saya keluar. Waktu itu, saya terbayangkan wajah ibu. Inilah yang dirasai oleh ibu ketika hendak melahirkan saya. Tidak dapat digambarkan perasaan kesal dan berdosa pada ibu. Nurse tanya pada saya, samaada saya hendak berjumpa dengan ibu kerana sejak dari pagi ibu hanya berdiri di hadapan pintu masuk wad bersalin. Saya hanya mampu menganggukkan kepala sambil mengalirkan air mata. Dari jauh saya dapat dengar suara ibu memanggil. Ibu berlari ke arah saya, dahi dan pipi saya dikucup berulang kali. Tangan saya digenggam erat. Saya yang tidak mampu nak berkata kerana terlalu penat hanya mampu mengalirkan air mata. Saya masih ingat ibu berkata, “Adik, ibu maafkan segala salah dan silap adik, ibu sayangkan awak sangat. Ibu doakan adik selamat bersalin ye. Kat luar tadi ibu tak putus-putus berdoa agar dapat berjumpa dengan awak. Ibu tunggu  awak dan baby kat luar. Adik banyakkan berzikir dan mengucap. InsyaAllah semua akan selamat.”  Ibu pun berlalu pergi. Nurse yang berada di dalam bilik pun turut mengalirkan air mata.

Satu jam selepas itu, bidan memeriksa bukaan sekali lagi, kali ini bukaan sudah 9 sentimeter. Nurse kata saya dah dekat nak bersalin. Nurse menyuruh saya teran ketika kontraksi berlaku. Ini adalah untuk mempercepatkan lagi baby keluar. Beberapa kali saya cuba dan ternyata ia memenatkan. Suami memberikan sokongan sepenuhnya pada saya. Tak lama selepas itu, doktor saya pun tiba. Dia pun bersiap untuk menyambut bayi saya. Bila kontraksi mula balik, saya pun meneran dengan sekuat hati sehingga rasa macam tak dapat bernafas. Saya tak berhenti langsung. Dengar suara-suara kat dalam tu "Push Sabrina, haa pandai pun. Push lagi."  Seorang dari nurse tu cakap dah nampak rambut baby. Bila sekali lagi kontraksi saya teran sekuat hati dengan tenaga yang bersisa dan tepat 1.05 tengahari, 12 November 2011 hari Sabtu, Nur Alaisya pun lahir. Saya boleh rasa ada sesuatu yang keluar dari bawah mengelongsor beserta dengan cecair yang agak panas, darah mungkin. Sejurus baby keluar, doktor terus meletakkan bayi saya kat dada. Tangisannya kuat sekali tetapi bila Alaisya diletakkan atas dada saya dia terus senyap, malah dia membuka mata dan memandang saya. “Assalamualaikum sayang, mama ni.” Air mata seorang ibu mengalir dengan sendirinya. Doktor memberikan gunting pada suami untuk memotong tali pusat baby. Alhamdulillah.., hanya itu yang dapat saya ungkapkan. Suami terus mencium dahi saya dan ketika itu juga segala penat dan sakit hilang serta merta. Sehinggakan ketika uri hendak dikeluarkan serta waktu doktor menjahit luka saya tidak perasan bila, dek terlalu asyik memandang anak kami. Selepas itu bayi saya ditimbang dan dibersihkan. Suami mengambil peluang untuk Azan dan Iqamat pada telinga anak kami. Perasaan ketika itu seperti tidak percaya yang kini saya adalah seorang ibu. Saya boleh rasakan bagaimana terbitnya perasaan sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap insan kerdil di sebelah saya dengan kedua mata tertutup dan raut wajah yang tenang.

Walaupun kini sudah 3 bulan lebih berlalu, saya masih tidak dapat melupakan pengalaman sewaktu melahirkan puteri sulung kami Nur Alaisya. Pada saya, itu adalah pengalaman manis yang paling berharga yang tidak mungkin saya dapat luputkan dari ingatan. Dari saat mengandung, melahirkan dan sehingga kini, perasaan sayang terhadap anak kecil ini semakin menebal. Semoga kebahagian kami sekeluarga akan kekal selamanya. 

Pengalaman yang menyakitkan, tetapi manis dikenangkan ;)